PRIHATIN MALAYSIA

Assalamualaikum wbt....

Masih baru.... Masih fresh..... dan masih setahun jagung....
InsyaAllah PRIHATIN MALAYSIA adalah salah satu dari ratusan NGO di Malaysia ini yang menjadi lapangan dan wadah dalam mengupas serta mengambil peduli hal ehwal kemasyarakatan...

Fokus utama PRIHATIN MALAYSIA adalah di dalam isu-isu berkaitan sosial dan juga kesihatan.... InsyaAllah.. Bersama penggerak-penggerak yang bangkit dengan semangat jihad dan seorang daei ummat... Isu kemasyarakat tidak akan dilihat enteng.....

LAPORAN KEMBARA ZIARAH DAN DAKWAH ORANG ASLI





LAPORAN KEMBARA ZIARAH DAN DAKWAH ORANG ASLI

Tempat : Kotai, Beswok, Bersah dan Kuala Mu, PERAK.
Tarikh : 26-28 Mac 2010

Perjalanan dakwah dan ziarah Kuala Mu kali ini membuat saya sangat bersemangat untuk ke sana. Setelah lebih setahun hasrat untuk ke sana terpaksa disimpan demi melaksanakan tuntutan lain yang lebih penting. Rombongan kali ini terdiri daripada Sdr Salman dan isterinya, Aziyah dari Kedah, Sdr Azmarul, Wan, dan Rosdi dari Perlis, dan juga saya, Fuad dan Nurul Azmaihan dari Kuala Lumpur. Tidak lupa juga En Khairi yang bermootosikal dari Pulau Pinang.

Pada mulanya ada beberapa orang sahabat lain yang ingin turut serta, namun atas sebab tertentu, mereka tidak dapat turut sama. Kami bergerak dari Dengkil jam 12.15 pagi, perjalanan menuju ke Sungai Siput, Perak.

Kami bertemu dengan ahli rombongan yang lain di Sungai Siput pada jam 3 pagi. Setelah majlis ta’aruf untuk rombongan kali ini, perbincangan dan perlantikan amir di lakukan. Keputusan yang kami persetujui pada malam itu adalah untuk naik ke Kotai pada malam itu juga.

Pada saat sunyi malam membuai tidur orang lain, deruan enjin kereta dan 4x4 ini menambah lagi suara malam yang indah di sini. Malam itu bulan cerah menampakkan taburan bintang di langit. SubhanAllah, langit cerah ini mengizinkan perjalanan kami seperti mudah.

Kami tinggalkan kenderaan yang dinaiki dari Kuala Lumpur di rumah Cikgu Bob. Esok dia akan menyusul kami ke Kuala Mu dengan menunggang motorsikalnya yang hebat itu.

Malam itu, dua kenderaan 4x4 dan sebuah motosikal (HONDA-BAJA250) membelah jalan debu menuju ke destinasi pertama kami iaitu Kotai. Alhamdulillah, perjalanan kami dimudahkan ALLAH. Dalam perjalanan ke Kotai, tatkala waktu menghampiri Subuh, kami dapati ada kehidupan subuh hari yang menyambut kedatangan fajar dengan solat kepadaNya. Dari atas bukit, kami lihat ramai orang di sebuah kediaman yang berkelakuan seperti mengambil air wudhuk. Mereka dalam kumpulan yang ramai.

Kami tidak sempat untuk singgah sebentar kerana ingin sampai segera ke Kotai. Perjalanan kami teruskan, dan tiba di Kotai pada jam 6.30 pagi. Fajar Sabtu yang menyinsing di Kotai sangat indah. Dek kerana letih, kami terpaksa melelapkan mata seketika buat melepaskan lelah. Sarapan pagi itu, kami kongsi bersama beberapa penduduk kampong yang hadir.

Ramah mesra walau seketika meninggalkan kenangan berharga buat diri saya. Mencuba untuk mempelajari kemahiran komunikasi dengan masyarakat. Di Kotai, rombongan ini sempat menyiapkan tandas untuk kemudahan akan datang. Di ketuai oleh Sdr Azmarul dan dibantu oleh sahabat-sahabat yang lain.

Selepas siap, kami bertolak ke Beswok. Setibanya di sana, beberapa ahli rombongan telah berjumpa dengan Penghulu Daud bagi memaklumkan kehadiran kami di sana. Masyarakat Asli di Beswok ramah.

Setelah beberapa ketika berada di Beswok, kami menerima kehadiran para pendakwah dari rombongan yang lain. Mereka dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan JAKIM. Lebih dari 10 buah motosikal dan beberapa 4x4. Baru kami tahu, bahawa merekalah orang yang beramai-ramai mengambil wudhuk pada subuh hari. Mereka juga bertujuan untuk ke Kuala Mu. Namun, perjalanan mereka tidak dapat diteruskan kerana tidak dapat melepasi jalan yang teruk.

Oleh kerana itu, mereka pergi ke Kotai dan Beswok untuk mengadakan ziarah dan dakwah. Rombongan kami beransur pulang. Perjalanan seterusnya menuju Kuala Mu. Dalam perjalanan keluar dari Kotai, sebuah dari kenderaan kami mengalami kerosakan gear. Kenderaan comel itu terpaksa kami tinggalkan sementara waktu. Perjalanan kami teruskan dengan PINZGAUER yang sarat dengan muatan barang dan tambahan orang.

Benar, seperti apa yang diberitakan oleh rombongan dari JAIP dan JAKIM itu. Kami tiba di tempat yang dikatakan teruk jalannya. Doa di hati, moga ALLAH merahmati dan mempermudahkan urusan ini. Rombongan kami terdiri dari sebuah 4x4 dan motorsikal yang ditunggang oleh En.Khairi. sampai di suatu tempat yang agak teruk, En. Khairi terjatuh kerana keadaan jalan yang teruk. Motorsikal tidak dapat dihidupkan. Namun, usaha tanpa penat itu membuahkan hasil. Akhirnya kami melepasi Bukit Petai yang tinggi. Kami mengambil keputusan untuk ke Bersah, rumah Pak Hadu. Atas sebab perut yang sedang menyanyi lagu sedih minta diisi, penat serta rindu pada masakan Ummi (isteri Pak Hadu).

Nikmatnya makan di waktu lapar, Alhamdulillah. Kami solat dan rehat seketika di situ. Setelah petang hampir menjenguk diri, kami beransur lagi, meneruskan perjalanan ke Kuala Mu. Meriahnya Kuala Mu yang kita semua rindu. Rumah-rumah batu sudah banyak dibangunkan, menggantikan rumah buluh yang unik.

Kuala Mu sudah mula menunjukkan perkembangannya. Adik-adik yang dulu masih kecil, sudah besar. Mereka tersenyum melihat kami datang. Seperti selalu, mereka ramah bercakap, bertanyakan itu dan ini.

Ketika kami sampai, terdapat rombongan berbangsa Cina di situ. Untuk tidak mengganggu mereka yang sampai lebih awal dari kami, kami segera mengadakan Cak Raya pada sebelah malamnya. Sebelum Cak Raya dihidangkan, adik-adik di Kuala Mu duduk dalam program santai yang dikendalikan oleh Nurul. Meriah sungguh. Cak Raya malam itu, menunya adalah Gulai Telur dan sayur kobis, yang dimasak oleh semua ahli rombongan yang datang. ;) Setelah habis Cak Raya, kami pulang untuk bermalam di rumah Pak Hadu.

Ummi yang sungguh baik hati, menyediakan bantal-bantal yang cantik untuk kami. Keesokan harinya, rumah Pak Hadu meriah dengan kehadiran adiknya. Muslimin mengadakan perbincangan dan juga sesi temubual yang dirakamkan. Manakala Muslimat bersama adik-adik di halaman.

Ketika kami hampir hendak pulang, Cikgu Bob tiba dengan motornya. Muslimin duduk lagi bersembang, dan kami memanfaatkan masa ini untuk bermandi-manda dengan adik-adik. Semasa mandi, kami mengadakan aktiviti amali berwudhuk, membina istana pasir dan aktiviti menyabun badan mereka. Adik-adik ini gembira dengan aktiviti yang diadakan. Lebih berharga, mereka mengajar kami pula, bagaimana mendapatkan sabun mandian di tepi sungai. ;) Mereka sungguh kreatif !

Ziarah dan dakwah kali ini, bukan sahaja mengubat rindu kepada Kuala Mu dan kampong-kampung yang lain. Tetapi banyak perkara yang di perbincangkan untuk kemaslahatan akan datang. Perbincangan penangguhan ziarah dan dakwah di rumah Cikgu Bob mencatatkan beberapa perkara, antaranya keperluan untuk memenuhi permintaan Pak Hadu, bagi mengadakan majlis ilmu pada ziarah akan datang, bahan bantuan mengajar untuk kelas anak-anak di sana dan juga beberapa perkara lain yang berkaitan.

Majlis itu ditangguhkan dengan pedoman Al Asr, moga dengan ayatNya, kami dikalangan orang yang sabar mengerjakan dakwah ini.

WallahuA’lam.

Disediakan oleh :
Nurul Fikriyah bt Abdul Halim
USIM.

p/s : UNTUK TINDAKAN SAHABAT-SAHABAT YANG AKAN IKUTI PROGRAM AKAN DATANG :
- Diperlukan buku-buku panduan Fardhu Ain, panduan Belajar Solat, Belajar Jawi dan Buku-buku cerita pendek.
- Peralatan menulis dan mengajar (Whiteboard & Marker)
- Apa-apa yang berkaitan yang difikirkan sesuai.

Syukran. ;)

Wednesday, March 31, 2010

kembara ziarah dakwah kotai, bersah dan kuala mu februari 2010




Islam terus menyinar di Kotai, Bersah dan Kuala Mu . Ameen.


Bismilahirrahmanirrahim...


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : Katakanlah (Wahai Muhammad) “Ini dia jalan aku. Aku menyeru kepada Allah berdasarkan bukti-bukti yang nyata. Aku dan mereka-mereka yang mengikut aku…..”. ( Surah Yusuf : 108


"Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik.Sesungguhnya tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahu akan orang yang sesat daripada jalannya dan dialah jua yang lebih mengetahi akan orang yang mendapat hidayat". ( Surah An-Nahl : 125 )


Alhamdulillah wa syukur lillah ke hadrat Ilahi di atas kurnia nikmat IMAN dan ISLAM. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., keluarga baginda dan para sahabat seterusnya para salafussoleh serta seluruh umat islam. Betapa berharganya kedua-dua nikmat ini kerana di situlah terletaknya hakikat seorang muslim dan istimewanya ISLAM yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada utusannya Rasulullah s.a.w yang akhirnya sampainya ISLAM di Bumi Malaysia. Penulis yakin, anda dan juga penulis pasti tersentuh apabila setiap kali lembaran sirah dan siri perjuangan Rasulullah s.a.w ditatap, didengar atau dibaca dengan penuh penghayatan. Kecekalan dan kesabaran baginda s.a.w dalam menyampaikan dan menyebarkan ajaran suci islam ke seluruh pelusuk dunia sangat dikagumi dan wajar dijadikan pemangkin bagi kita sebagai generasi yang akan meneruskan perjuangan baginda s.a.w.



Kita masih mempunyai kewajipan yang lebih banyak daripada masa yang sedia ada kerana dibahu kita lah tergalas tugas sebagai seorang dai'e yang mesti dilaksanakan. Tanpa mengira siapa, pangkat, warna kulit, agama, budaya, negara dan sebagainya , tidak dapat tidak ISLAM mesti disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di muka Bumi ini.


Setelah sekian lama kalinya penulis ingin menyertai program bersama orang asli, tetapi setiap kali itu juga, ada program bertindih dan yang mana perlu di'awla'kan menyebabkan perancangan penulis untuk menyertai misi dakwah orang asli tidak terlaksana. Alhamdulillah dengan izinNYA, hajat penulis kesampaian dan menjadi kenyataan kerana dapat bersama-sama sahabat yang kental jiwanya dalam menjayakan misi dakwah kali ini. Dan penulis sudah awal-awal mengosongkan cuti Tahun Baru Cina yang lalu semata-mata untuk turun menziarahi saudara-saudara baru yang masih jauh dan dilupai oleh kita. Bermacam-macam yang bermain di fikiran penulis apakah yang bakal dihadapi kelak setelah sampai ke sana. Sebelum sampai ke perkampungan orang asli, penulis juga menghadapi sedikit konflik walaupun pada awalnya perancangan telah dibuat. Moga pilihan yang dibuat kali ini adalah kerana dengan izinNYA. InshaAllah.

Penulis juga telah dimaklumkan oleh seorang sahabat yang merupakan ahli jawatankuasa tertinggi NGO Ummah Aid dan PRIHATIN Selangor yang misi dakwah kali ini adalah di perkampungan orang asli Gua Musang, Kelantan. Walaubagaimanapun, perancangan telah ditukar pada saat-saat akhir kerana ramai sukarelawan yang telah menuju ke sana dan kebetulan pada masa yang sama penghulu Kampung Kuala Mu, Sungai Siput , Perak telah meminta para sukarelawan yang ada untuk datang menziarahi mereka. Pada malam 12 hb, kami telah berkumpul dan tidur di Rumah Anak Yatim Dengkil sebelum memulakan perjalanan pada jam 3.00 paginya. Oleh kerana masing - masing kepenatan, kami bertolak satu jam lewat dari masa sebenar yang dirancang. Pagi yang hening dan amat menyejukkan, perjalanan kami seramai 4 orang dalam sebuah kereta menuju ke Sungai Siput, Perak memakan masa hampir 5 jam kerana kami juga tidak terkecuali menghadapi kesesakan kereta yang banyak. Tambahan pula, waktu cuti itu diambil oleh penghuni-penghuni kota untuk pulang menziarahi keluarga di kampung. Sehinggakan kami terpaksa solat subuh 'gajah' di R & R yang turut sesak dengan manusia pada saat itu. Penulis berasa agak kecewa kerana ada sesetengah kawasan rehat tidak menyediakan kemudahan surau dan menyebabkan ramai yang terpaksa solat di atas pondok, di tepi jalan, atas rumput dan sebagainya. Bagi penulis ia tidak menjadi masalah kepada sesiapa yang faham dan sedar kewajipan bersolat dan sebagai muslim untuk solat di mana-mana permukaan Bumi adalah tidak menjadi perkara yang pelik. Cuma mungkin ia akan menjadi masalah kepada yang sesiapa tidak memahami dan mungkin seseorang yang hanya akan menunaikan solat apabila disuruh sahaja dan tambahan apabila melihat keadaan yang sedemikian lagi membuatkan kewajipan dibelakangkan. Ia sebenarnya sedikit sebanyak akan mempengaruhi pandangan dan persepsi orang untuk menunaikan rukun islam yang kedua itu. Pada pemerhatian penulis, masih ramai lagi yang menyedari kewajipan untuk solat walaupun pada masa itu sudah terang, hampir jam 8 pagi. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : "Solat merupakan tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama". (maksud Hadith).

Sepanjang perjalanan, penulis hanya tidur dan sepatutnya penulis mengambil peluang tersebut untuk memuji dan mensyukuri penciptaanNYA yang terbentang luas. Tetapi itu tidak bermakna penulis terus tidur tanpa bangun dan sempatlah juga melihat keindahan gunung, pokok-pokok dan batu-batu besar di sisi jalan. SubhanaAllah. Tanpa semua ini, sudah pasti Bumi tidak akan stabil dan tidak dapat berdiri pada paksinya. Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Al-Hijr ayat 21 yang bermaksud : " Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya dan kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu”.


13Februari 2010

Akhirnya kami sampai di Masjid India Muslim, Sungai Siput lebih kurang jam 9.15 pagi dan sahabat yang lain telahpun sedia menanti ketibaan kami. Sebelum meneruskan misi membelah dan mengharung perjalanan yang sukar ke perkampungan tersebut, sedikit taklimat dan sesi ta'aruf dijalankan. Pada kali ini, ekspedisi telah disertai oleh 5 orang muslimat dan 5 orang muslimin yang masing-masing dari latar belakang yang berbeza tetapi atas niat dan matlamat yang sama. InshaAllah. Di samping itu, Abang Azmarul selaku Amir telah membuat persiapan yang rapi seperti bekalan makanan, minyak kenderaan, generator dan segala kelengkapan berkaitan selama 3 hari 2 malam di tiga buah kampung yang akan kami jejaki. Pengalaman yang paling berharga apabila dapat menaiki 'land rover' yang sangat tahan lasak dan perjalanan yang berjam-jam ke setiap kampung melalui jalan-jalan hutan yang berbatu-batu dan bermacam-macam bentuk menyebabkan kepala penulis sering terhantuk pada cermin tingkap. Sudah tentu pemandu yang sangat mahir diperlukan untuk memandu 'land rover' yang tidak semua orang mampu mengendalikan di atas jalan yang bukan jalan raya. Ustaz Fuad yang merupakan imam kami memang 'expert' memandu kenderaan pacuan empat roda tersebut, walaupun agak mencabar tetapi menurutnya itulah pemanduan yang paling cermat dan selamat yang dibawa olehnya memandangkan penumpangnya semua muslimat . Memang sangat mencabar walaupun hanya duduk di belakang tanpa perlu memandu.

Lebih kurang jam 530 petang baru kami tiba di Kotai, tempat pertama persinggahan kami. Setibanya, kelihatan beberapa anak orang asli sedang bermain di celah-celah semak dan pokok kerana itulah aktiviti rutin mereka setiap hari. Apabila penulis dan sahabat-sahabat cuba mendekati anak-anak kecil itu, mereka melarikan diri mungkin kerana mereka masih ganjil dengan orang luar walaupun sebelum ini beberapa sukarelawan ataupun dai'e telah turun di kampung tersebut pada setiap sebulan. Ekspedisi ini merupakan satu usaha berterusan dan aktiviti bulanan Ummah Aid untuk memastikan kalimah Allah s.w.t sampai ke segenap pelusuk hati dan jiwa mereka. InshaAllah, moga usaha mulia ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan islam kepada yang berhak seterusnya membawa mereka keluar dari kepompong kehidupan yang penuh daif kepada yang lebih baik.
Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

Sementara muslimin mengangkat segala kelengkapan ke atas pondok yang telah dibina sebelum ini khas untuk penginapan dan tempat memasak , penulis dan sahabat cuba beramah mesra dengan anak-anak orang asli setelah berjaya memujuk mereka mendekati kami. Perbezaan penggunaan bahasa menyebabkan keterbatasan kami untuk berbicara panjang dengan adik-adik tersebut. Kebetulan, kami juga perlu segera menyediakan makanan untuk menjamu semua penduduk kampung tersebut makan bersama-sama kami. Kebiasaannya, majlis makan besar yang juga dikenali sebagai 'Cak Raya' itu merupakan aktiviti wajib setiap kali kunjungan ke perkampungan orang asli. Menu malam itu adalah nasi putih berlaukkan sup ayam, beserta timun dan air teh. Penulis juga baru dapat tahu pada kebiasaannya mereka hanya memakan ubi kayu dan nasi dapat dimakan apabila kami berkunjung ke Kotai. Setelah semua sibuk berhempas pulas menyusun peralatan, memasang lampu, membaiki pondok, membina tandas dan menyiapkan makanan yang selesai hampir waktu maghrib, bilal yang bertugas iaitu saudara Amin siap sedia melaungkan azan sebagai satu seruan pemberitahuan telah masuknya waktu solat fardhu Maghrib. Jadi, imam telah memanggil penduduk kampung untuk solat berjemaah bersama-sama kami. Dan selepas itu baru upacara 'Cak Raya' dijalankan. Sejurus solat, penghulu telah membuat pengumuman bahawa pada malam itu akan diadakan makan besar dan dibawa untuk membawa pinggan atau 'anyan' sendiri. Kami sudah bersedia di posisi masing-masing di mana penulis sendiri akan mencedokkan lauk ayam untuk diberikan kepada mereka. Tampak di riak wajah mereka yang begitu lapar dan tidak sabar untuk menikmati juadah pada malam itu sehingga berebut-rebut tetapi alhamdulillah dapat dikawal dengan baik. Bayangkan kita setiap hari membazir membuang makanan yang tidak habis dan satu hari wajib dua kali makan nasi tetapi mereka...Tidak bersyukurkah kalian? Sedar atau tidak, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang sangat daif dan hanya memakan hasil-hasil hutan, hidup di tengah-tengah hutan dengan ketiadaan bekalan elektrik. SangatJauh berbeza daripada kebanyakkan kita yang hidup serba kemewahan dan kesenangan di hiruk piruk kota yang memeningkan kepala. Di manakah fungsinya dan keberkesanan hak asasi manusia yang sering dilaung-laungkan dan termaktub dalam perlembagaan tetapi masih ada lagi manusia yang tidak dibela malah dipinggirkan. Sedangkan mereka adalah manusia seperti kita dan menjalankan kehidupan seperti kita. Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran penulis, di manakah pihak-pihak berkuasa dan yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan orang asli? Bukan bertujuan untuk menuding jari tetapi satu persoalan dan penyelesaian yang memerlukan perlaksanaan dan tindakan.

Berbalik pada malam itu, bagi mengisi masa masyarakat asli yang sering terbuang dan pergi begitu sahaja, kami turut membuat tayangan filem 'Pendekar Bujang Lapok' secara terbuka. Sekurang-kurangnya aktiviti ini dapat memberi keceriaan dan mengikat ukhwah antara kami dan sesama mereka apabila menonton bersama. Tambahan pula cerita arahan P.Ramlee itu sering membuatkan kami tidak jemu untuk ketawa dan sudah pasti sangat menghiburkan walaupun rata-rata daripada penduduk di situ kurang faham dialek Melayu. Setelah tayangan berakhir, kesemua orang balik untuk melelapkan mata. Hari esok perlu diteruskan jika diberi keizinan olehNYA. Langkah pertama yang akan menentukan kesinambungan jalan-jalan yang seterusnya.



14 Februari 2010

Permulaan pagi yang sungguh sejuk dan menyegarkan setelah pada waktu malamnya bertemankan kerlipan berjuta-juta bintang di langit. SubhanaAllah !!! Sungguh cantik!!! Seusai laungan azan seterusnya solat subuh berjemaah, Ustaz Fuad membuka halaqah untuk menyampaikan sedikit tazkirah ringkas disusuli respon daripada para sahabat yang turut serta. Penulis juga mengambil peluang untuk merespon kerana berasa sangat bertuah kerana berpeluang menyertai ekspedisi yang sangat berharga ini. Dan juga berharap agar kami terus istiqamah menjalankan misi dakwah kepada orang asli. Walaupun hanya mengajar mereka mengucap kalimah syahadah, itu sebenarnya sangat berbekas di dalam hati. Terasa begitu sayu tatkala mereka sama-sama belajar dan melafazkan syahadah. Maka lahirlah muslim, saudara seislam yang menerima hidayah dariNYA. Perjalanan dan langkah hari ini perlu diteruskan, lebih ramai lagi masyarakat orang asli memerlukan bantuan dari kalian. Di atas kecemburuan waktu, kami mula mengemas dan menyiapkan sarapan sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Mu yang sentiasa menanti. Perasaan sayu dan hiba untuk meninggalkan mereka di Kotai juga menyelubungi kami. Sebelum itu, penulis sempat mengenali adik-adik kecil yang masih memerlukan pendidikan yang secukupnya supaya seterusnya dapat membawa sinar dalam kehidupan keluarga masing-masing. Shawati, Zaiton, Maya, Shila, Hamdan, Aswan, Risal,Alop...Mereka adalah anak-anak kecil yang masih muda malah bakal memimpin keluarga tetapi tidak pernah mengenal erti kesenangan hidup apatah lagi erti kehidupan. Depan, belakang, kiri atau kanan, sekeliling mereka adalah belukar, semak, pokok-pokok dan hutan yang tebal. Bagaimanakah jika kita berada di tempat mereka? Moga kalian dipelihara Allah s.w.t dan akan menjadi pembela dan penyelamat kepada masyarakat orang asli kelak. Ameen. Moga lambaian ini bukan lambaian terakhir dariku.


Ekspedisi diteruskan kerana hari semakin bergerak meninggalkan hari sebelumnya. Seperti biasa, perjalanan melalui jalan dalam hutan yang mencabar menjadi peneman kami. Tiada pilihan, itulah jalan penghubung yang sering digunakan oleh penduduk orang asli di situ.


Perjalanan hampir lima jam ke Kuala Mu mengizinkan kami untuk singgah menziarahi Pak Adu sekeluarga di Bersah. Alhamdulillah, kali ini kehidupan penduduk kampung Bersah nampak lebih teratur berbanding Kampung Kota. Ini kerana Pak Abdu selaku penghulu di situ sering keluar dan bertemu dengan pemimpin Melayu untuk mendapatkan bantuan demi kepentingan penduduk-penduduknya. Dua orang daripada anak juga telah berjaya dihantar ke sekolah di bandar Kuala Kangsar. Pak Adu sangat peramah orangnya dan melayan kami dengan begitu mesra memandangkan dia sendiri boleh bercakap dan faham bahasa Melayu. Isteri Pak Adu iaitu Umi pula sibuk memasak lauk tengah hari untuk di makan bersama walaupun jam ketika itu lebih kurang 2.30 petang. Penulis juga tidak ketinggalan membantu Umi memasak menggunakan kayu api dan berasap-asap satu rumah. Hidangan ubi kayu goreng memang merupakan hidangan tetap bagi tetamu yang datang. Ubi kayu di situ sangat berbeza, lebih besar dan isi serta rasanya lebih manis.


Kali ini kami dijamu dengan nasi berlaukkan sardin. Malah menu yang paling istimewa adalah petai masak sardin. Walaupun simple masakan Umi tetapi sungguh berselera kami menikmatinya. Penulis gembira dapat mengenali keluarga Pak Adu kerana mereka melayan kami seperti keluarga sendiri dan penulis sendiri begitu cepat mesra dengan Umi walaupun baru pertama kali bertemu dengannya. Setelah makan dan menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, sekali lagi kami akan tinggalkan Besrah buat sementara untuk menuju ke destinasi seterusnya. Umi juga sempat menyediakan bekalan ubi kayu untuk kami, sungguh mulia hati insan yang bergelar ibu.


Sekali lagi , kami meneruskan perjalanan yang tidak akan berhenti ke destinasi terakhir iaitu Kuala Mu. Sesampai di sana, anak-anak kecil berlari-lari menyambut kehadiran kami. Mereka lebih berani dan ramah mendekati kami berbanding dengan anak-anak kecil di Kotai. Tampak mereka sudah biasa menerima kehadiran orang luar walaupun tidak pernah mengenali sebelum ini. Sehingga ada yang menarik penulis untuk memegang tangan mereka dan memimpin untuk jalan bersama. So interesting! Tetapi dekat sana, memang banyak anjing-anjing yang berkeliaran. Kadang-kadang takut dan risau juga sebab penulis memang kurang berani dengan anjing. Walaubagaimanapun, anjing-anjing tersebut lebih takut dengan orang-orang yang tidak dikenali. Dan yang paling istimewanya di Kuala Mu adalah kedudukannya di tepi sungai. Jadi, penulis dan 4 orang sahabat lagi mengambil kesempatan untuk mandi sungai kerana sudah seharian tidak membersihkan diri. SubhanaAllah, inilah kali pertama penulis mandi sungai setelah sekian lama hanya melihat orang lain mandi sungai. Hampir 2 jam juga kami berendam apabila anak-anak orang asli membawa kami ke tempat yang paling jauh dari pandangan manusia terutamanya muslimin. InshaAllah.


Sebelum Matahari meninggalkan siang, kami pulang untuk membuat persiapan memasak untuk 'Cak Raya' di sebelah malam. Aktiviti yang sama dilakukan seperti di Kotai, cuma yang bezanya menu pada malam itu adalah ayam masak kari.


Sebenarnya banyak yang penulis ingin coret dan kongsikan, tetapi rasanya ini pun sudah terlalu panjang dan meleret. Yang paling penulis tidak dapat lupakan ialah suasana sejuk yang betul-betul menggigit tulang sepanjang tidur di pondok Kuala Mu. Hanya Allah s.w.t yang tahu. Sungguh sejuk!!! Menggigil-gigil rasanya.


Apa yang penting sekarang ini adalah tanggungjawab kita untuk menyampaikan kalimah Allah s.w.t kepada yang berhak. Tidak kira siapa mereka dan siapa kita , selagi kita berpegang kepada kalimah tayyibah, kita wajib sampaikan islam kerana semua daripada kita adalah dai'e. Moga setiap usaha dakwah yang dijalankan ikhlas lillahi ta'ala dan berjihadlah di jalan Allah s.w.t. Sesungguhnya jalan dakwah sangat luas, dan kalianlah yang akan membuat pilihan untuk memilih jalan dakwah yang sesuai dengan anda tanpa sebarang paksaan. Carilah ia dan doa agar istiqamah kerana Allah swt sentiasa bersama kalian. InshaAllah...

Moga bertemu lagi di sana...


Ameen.

Nur Hafizah Binti Arzemi

http://serikandisyurga.blogspot.com/

Wednesday, March 3, 2010

 
PRIHATIN MALAYSIA - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger